20 Tanda-Tanda Awal Pekerja Akan Berhenti Kerja

Banyak kerja, masa, dan duit yang terlibat dalam proses mencari pekerja, mengambil pekerja, dan membuang pekerja.

Oleh itu apabila pekerja yang bagus meletakkan jawatannya dan berhenti kerja, jumlah kerugian yang ditanggung adalah besar, apatah lagi sekiranya pekerja itu dicuri oleh pesaing kita, maka lebih besar kerugiannya.

Masalah pekerja berhenti kerja adalah masalah yang menyebabkan kita menanggung 2 kerugian:

i. Rugi masa
ii. Rugi duit

Beberapa hasil kajian melaporkan nilai kerugian wang apabila pekerja berhenti kerja adalah antara gaji 18 bulan hingga 24 bulan yang dibayar.

Kos-kos yang ditanggung apabila pekerja berhenti:

i. Kos hiring, yakni proses mengambil pekerja
ii. Kos on-boarding
iii. Kos training
iv. Kos produktiviti yang hilang
v. Kos kesilapan bisnes

20 Tanda-Tanda Awal Pekerja Akan Berhenti Kerja

John Rampton adalah salah seorang penyelidik dalam bidang tanda-tanda pekerja yang sudah hampir meletakkan jawatannya dan berhenti kerja. Menurut beliau, antara tanda-tanda itu adalah:

1. Produktivitinya jatuh banyak.

Sebelumnya, memang berlaku produktivit pekerja kita jatuh, tetapi cuma sekali-sekala, dan jatuhnya sedikit sahaja, serta tidak lama. Hal itu kerana dia mengalami gangguan sementara.

2. Tingkah lakunya berubah banyak.

Ini adalah tanda-tanda paling awal dia mungkin akan berhenti kerja. Sebagai contoh, sebelumnya dia pekerja yang konsisten rajin, tetapi sekarang dia mula menunjukkan perubahan tingkah laku.

Dia tidak lagi rajin bekerja macam sebelumnya. Dia masih datang kerja, tetapi hanya badannya yang datang kerja manakala jiwanya macam berada di tempat lain.

3. Kerja ikut waktu.

Dia mula datang kerja dan balik kerja tepat pada masanya. Sebelum itu dia suka datang awal dan balik kerja lambat sedikit. Tetapi sekarang tidak lagi, dia macam terburu-buru, masuk kerja dan balik kerja tepat pada waktunya.

4. Balik cepat.

Dia mungkin mula mencari peluang dan alasan supaya dapat balik lebih cepat. Dahulu dia tidak pernah menunjukkan tingkah laku macam itu.

5. Ambil lebih masa rehat.

Pekerja itu mula kerap ambil masa rehat lebih panjang. Sebelumnya tidak, dia sentiasa mematuhi masa rehat.

Sebagai contoh, waktu rehat makan tengah hari, dia balik lambat ke tempat kerjanya. Dia mungkin menggunakan masa rehat itu pergi berjumpa dengan bakal majikan barunya.

6. Mula berahsia.

Dia menjadi lebih pendiam dan berahsia. Sebagai contoh, dia menjawab panggilan telefon dengan pergi ke tempat lebih jauh supaya orang lain tak dapat dengar apa yang dia cakap.

7. Tidak mahu bekerjasama.

Dahulu dia seorang yang suka memberi kerjasama, membantu dan dan tolong menolong sesama rakan-rakan sekerjanya. Sekarang dia tidak mahu lagi menolong kerja rakan-rakannya. Dia cuma buat kerjanya sahaja.

8. Buat kerja paling minimum.

Dahulu dia seorang pekerja yang suka buat kerja lebih banyak, lebih daripada target yang diberikan. Tetapi sekarang dia kerap buat kerjanya paling minimum, cukup-cukup sahaja, asalkan tidak kena tegur.

9. Tolak projek jangka panjang.

Pekerja yang sudah membuat keputusan mahu meletakkan jawatannya, dia tidak lagi mahu terlibat dalam projek ataupun tugas-tugas yang memakan tempoh masa panjang.

Tugas macam itu akan menjejaskan tarikh rancangannya mahu berhenti kerja. Dia mahu memastikan semua tugasnya dapat disiapkan sebelum dia keluar.

10. Banyak kali tidak datang kerja.

Jikalau sebelumnya dia seorang pekerja yang rajin datang kerja, tersangat jarang datang kerja lambat, tidak pernah ambil cuti, tetapi tiba-tiba dia mula mengambil cuti sakit, ataupun dia ambil cuti tahunannya.

Itu tanda-tanda dia mula menjauhkan dirinya dari pekerjaannya dan jelas untuk berhenti kerja.

11. Menjauhkan diri.

Jika dahulu dia sentiasa aktif dalam mesyuarat, banyak bercakap, banyak menyuarakan pendapat, tetapi sekarang dia menjadi pendiam dan reserved dalam mesyuarat.

12. Mula merungut tidak puas hati.

Sebelumnya dia pekerja yang tidak banyak komplen dan rungutan, tetapi sekarang dia mula bercakap tentang perkara-perkara yang dia tidak suka tentang perangai ketuanya ataupun perangai majikannya.

Dia mula mengumpat mereka kepada pekerja lain kerana dia tidak puas hati dengan cara dirinya dilayan. Dia mungkin meluahkan perasaan tidak puah hatinya itu di media sosialnya.

Ini tanda yang sangat jelas bahawa dia akan berhenti kerja.

13. Mula komplen tentang pekerjaannya.

Sebelumnya dia menjalankan pekerjaannya macam biasa tetapi sekarang dia mula komplen tentang kerja-kerja yang terpaksa dibuatnya.

14. Tidak mahu lagi menyumbangkan idea.

Sebelumnya, dia seorang yang suka mengemukakan idea kreatif dan inovatif bagi memajukan bisnes majikannya.

Tetapi sekarang, dalam sesi diskusi dan brainstorming pun dia tidak mahu lagi menyuarakan pendapatnya, sokongannya, ataupun saranannya.

Itu adalah tanda-tanda dia tidak peduli lagi hendak menunjukkan bakatnya dan kepandaiannya.

15. Tidak mahu lagi menyukakan hati ketuanya.

Adalah normal pekerja yang puas hati dengan pekerjaannya akan cuba menyukakan hati ketuanya ataupun majikannya.

Sebagai contoh, dia sanggup buat kerja tanpa disuruh, dia sanggup balik lambat bagi menyiapkan tugasnya, ataupun dia sanggup bawa balik kerjanya.

Pekerja yang sudah membuat keputusan mahu berhenti kerja tidak lagi mahu melakukan perkara-perkara macam itu.

16. Mula mengelak.

Jikalau dahulu dia suka bertembung dan bertegur sapa dan bercakap-cakap dengan ketua ataupun majikannya, sekarang dia sengaja tidak mahu berjumpa lagi, sengaja mengelak daripada terjumpa.

17. Tidak berminat pergi kursus.

Sebelumnya dia suka hadir dan mengikuti sesi latihan dan kursus kemahiran yang menguntungkan majikannya, sekarang tidak lagi.

18. Tidak mahu hadir acara.

Jikalau dahulu dia suka hadir acara dan majlis yang dianjurkan oleh majikannya bagi mengeratkan lagi hubungan baik antara pihak pengurusan dan pihak pekerja ataupun bagi mengukuhkan semangat berpasukan antara sesama pekerja, sekarang tidak lagi.

19. Melepaskan kerjanya.

Sekiranya pekerja itu senior dan dia mempunyai orang bawahan, dia mula menyerahkan kerja-kerja yang biasanya dia buat sendiri kepada orang bawahannya.

20. Kurang mahu berjumpa customer.

Jika sebelumnya dia suka berjumpa customers dan berbincang dengan mereka, tetapi sekarang tidak lagi. Dia mengelak berjumpa mereka.

PENUTUP

Majikan dan pengurus perlu tajam mata memerhatikan perubahan tingkah laku pekerja supaya kita dapat bersedia apabila mereka mahu berhenti kerja. Kita sudah ada rancangan tindakan yang akan diambil.

Seandainya pekerja itu sangat penting dalam bisnes kita, kita dapat betulkan keadaan sebelum dia meletakkan jawatannya dan berhenti kerja. Sekiranya pekerja itu tidak berapa penting, kita boleh mula mencari calon pengganti.

Mahukah Tuan Belajar Cara Mengambil Pekerja Berkualiti & Membuang Pekerja Toksik?

Panduan Mengambil Pekerja Berkualiti & Membuang Pekerja Toksik

Dalam panduan ini, anda akan belajar cara-cara mengambil pekerja yang betul agar dapat pekerja yang berkualiti dan cara membuang pekerja yang bermasalah dan toksik dalam syarikat.

Panduan ini dihasilkan bersama partner kami, HR Duo Biz. Trainer berpengalaman lebih 25 tahun dalam bidang HR akan membimbing anda.

4 Panduan & 49 Topik Video Yang Anda Akan Belajar:

Panduan 1: 19 Topik Langkah Demi Langkah Ambil Pekerja
Panduan 2: 4 Topik Manfaat Socso Dalam Belanjawan 2023
Panduan 3: 10 Topik Cara Memberhentikan Pekerja
Panduan 4: 16 Topik Cara Mengambil Tindakan Disiplin

Klik butang di bawah:

KLIK SINI
Hai 👋 Boleh kami bantu anda?