5 Risiko Serius Apabila Bisnes Kecil Berkembang Terlalu Cepat

Pakar-pakar pengurusan bisnes kecil banyak menjalankan kajian tentang faktor-faktor yang menjadi punca mengapa berlaku di mana ada bisnes kecil itu berkembang tetapi kemudian gagal survive.

Salah satu punca fenomena macam itu berlaku adalah apabila bisnes kecil itu berkembang terlalu cepat, istilah overgrowth.

Majoriti peniaga yang masih baru dalam dunia bisnes tidak sangka bahawa pertumbuhan yang cepat boleh menjadi punca bisnes bungkus.

Overgrowth adalah salah satu faktor yang menyebabkan bisnes kita mengalami masalah tidak cukup modal pusingan dan cashflow tercekik.

Hasil kajian mendapati 1 dari 6 bisnes kecil bungkus akibat tidak cukup modal bagi membiayai pertumbuhan yang terlalu cepat.

Kembangkan bisnes kita pada kadar yang perlahan tetapi steady, bukan yang naiknya melonjak dan melompat-lompat.

Kawal kadar perkembangan bisnes kita, itu adalah strategi bagi mengelakkan masalah tak cukup modal pusingan.

Cara mengawal kadar perkembangan adalah dengan membuat perancangan yang betul. Maksudnya, kita mesti rancang perkembangan bisnes kita.

Ada lima risiko serius apabila bisnes kita berkembang terlalu cepat dan naik pada kadar mengejut serta mendadak:

1. Risiko Beban Hutang Modal Terlalu Banyak

Bisnes memerlukan modal pusingan. Pertumbuhan bisnes memerlukan tambahan modal pusingan.

Apabila permintaan naik, jualan pun naik. Itu bermakna pengeluaran perlu dinaikkan. Kerja-kerja makin banyak, staff yang ada tidak cukup.

Kita perlu mengambil pekerja tambahan. Kita juga perlu membeli lebih banyak alat-alat kerja. Lebih banyak bahan-bahan mentah diperlukan.

Ruang kerja juga perlu dibesarkan. Kita perlu menyewa premis lebih besar. Kita juga perlu membeli sistem komputer. Itu belum lagi kita perlu membeli kenderaan logistik.

Growth pada kadar yang rendah memerlukan suntikan modal tambahan yang kecil. Disebabkan growth itu kecil dan perlahan, kita boleh menyimpan duit keuntungan bisnes dan gunakan duit itu bagi menokok modal yang diperlukan.

Semakin tinggi kadar perkembangan bisnes kita, semakin besar modal tambahan yang diperlukan.

Apabila bisnes naik dengan kadar mengejut dan mendadak, duit simpanan yang ada tidak cukup bagi menokok modal pusingan yang diperlukan. Semua duit simpanan habis dibelanjakan.

Kita perlukan tambahan cashflow atau aliran tunai. Akibat tak cukup duit tunai, kita terdorong membuat pinjaman pada jumlah yang melebihi kemampuan bisnes kita menanggungnya.

Apabila pesanan untuk produk naik terlalu cepat, banyak peniaga membuat pinjaman besar bagi menampung kenaikan bisnes yang terlalu cepat itu.

Lalu bermulalah kitaran masalah beban hutang. Bisnes naik, pinjaman pun naik. Tiba pada satu titik, bisnes runtuh apabila beban pinjaman menjadi terlalu berat.

Duit dari hasil jualan masuk, tetapi jumlahnya tidak cukup bagi membayar semua kos-kos operasi dan ansuran pinjaman.

Permintaan naik tinggi, jualan naik tinggi, tetapi jumlah hutang naik lebih tinggi.

Apabila duit pusingan tidak cukup, cashflow tercekik, kita tak cukup duit tunai untuk membayar macam-macam kos operasi, lalu apa lagi, kita pun tokok lagi pinjaman! Itu yang dikatakan bisnes kita berkembang terlalu cepat sampai roboh.

2. Risiko Terlalu Fokus pada Jualan

Banyak peniaga kecil melakukan kesilapan jenis ini. Mereka terlalu memberi perhatian pada jualan sahaja.

I. Mereka sangka profit datang dari jualan sahaja.

Sangkaan itu salah. Keuntungan bisnes boleh datang daripada sumber-sumber lain. Jualan mungkin naik, tetapi profit boleh jatuh. Jualan mungkin jatuh, namun profit boleh naik.

ii. Mereka sangka apabila mereka dapat urus jualan dengan baik, automatik bisnes akan berjalan dengan baik. Sangkaan itu salah.

ii. Apabila angka jualan dapat dinaikkan, angka profit pun akan ikut naik. Sangkaan ini pun salah. Walaupun jualan naik, kos-kos operasi mungkin naik lebih tinggi.

Didorong oleh sangkaan yang salah itu, siang dan malam mereka berfikir mencari jalan bagaimana hendak menaikkan jualan, seolah-olah jualan yang tinggi adalah segala-galanya dalam bisnes.

Angka-angka jualan bukan segala-galanya dalam mengembangkan bisnes dan survival bisnes. Sebagai contoh, andainya angka jualan naik, pada masa yang sama kos operasi juga naik malah naik lebih tinggi daripada kenaikan angka jualan, situasi begitu sangat berisiko.

3. Risiko Tidak Mengawal Cashflow

Kesilapan jenis ini sangat kerap berlaku apabila bisnes kecil kita mengalami trend yang berkembang sangat cepat.

Kesilapan itu adalah:

i. Kita membuat unjuran bisnes yang sangat optimistik.

Disebabkan jualan naik tinggi dalam beberapa bulan yang lalu, kita cenderung meramalkan masa depan bisnes kita sangat cerah.

Kita pun membuat unjuran di mana jualan akan terus-menerus naik tinggi pada masa hadapan, tidak akan jatuh merudum dalam masa terdekat.

Lalu kita membuat komitmen kewangan jangka panjang, maklumlah kita percaya jualan akan terus naik, banyak duit akan terus mengalir masuk.

ii. Kita tidak faham perbezaan antara profit dan duit tunai dalam akaun bank.

Kita menyamakan profit dengan duit yang ada dalam akaun bank kita. Apabila duit dalam akuan bank banyak, kita percaya bisnes kita buat untung banyak.

Ini adalah isu yang sangat banyak berlaku dalam kalangan peniaga kecil. Mereka cuma tengok duit dalam akaun bank saja.

Apabila duit dalam akaun bank sedikit, kita percaya bisnes kita tak bagus, untung tak banyak. Kita risau, khuatir cukup bulan kita tak cukup duit hendak bayar itu ini.

Apabila duit banyak dalam akaun bank, kita percaya bisnes kita amat bagus, kita banyak buat untung. Itu membuat kita menjadi amat optimistik. Unjuran kita pun amat optimistik.

Bisnes yang berkembang cepat, dan angka-angka jualan yang naik cepat, mudah sahaja mendorong kita menokok perbelanjaan peribadi.

Kita menjadi berani mengambil risiko komitmen kewangan jangka panjang, seperti membeli kereta baru dan rumah baru, malah mungkin kahwin baru.

Duit yang banyak dalam bank itu belum tentu membuktikan bisnes kita banyak buat profit. Profit adalah duit yang tinggal dalam tangan kita apabila segala macam bayaran yang perlu dibayar sudah dibayar.

Apabila banyak bayaran belum dibuat, itu yang menyebabkan duit masih banyak dalam akaun bank. Jangan-jangan jumlah bayaran yang kena dibayar sebenarnya lebih banyak daripada duit yang ada dalam akaun bank kita.

4. Risiko Mutu Customer Service Jatuh

Jualan yang naik dengan mendadak memaksa kita gopoh-gapah mengambil banyak pekerja baru yang belum mahir.

Tanpa diberikan latihan secukupnya, pekerja-perkerja baru sudah diarahkan membuat kerja-kerja yang memerlukan kemahiran.

Situasi begitu boleh menyebabkan mutu servis jatuh lalu menyebabkan nama baik bisnes kita rosak dan customers yang sedia ada lari.

Banyak perniagaan kecil berjaya membina nama baik disebabkan mereka memberikan mutu customer servis yang sangat baik, sangat memuaskan hati pelanggan.

Apabila permintaan naik dengan mengejut, hal itu menyebabkan mutu customer servis jatuh. Situasi itu merosakkan nama baik.

Pekerja yang ada tidak bersedia melayan permintaan yang naik mengejut. Mereka tidak mampu memberikan servis yang terbaik lagi. Pekerja baru belum mahir, mereka banyak melakukan kesilapan.

Supaya bisnes kecil boleh survive, bisnes itu mesti berkembang dan mesti tumbuh. Namun pertumbuhan yang tidak dirancang kadarnya adalah berisiko kepada survival bisnes itu sendiri.

5. Risiko Pertumbuhan di Luar Tujuan Asal Bisnes

Kesilapan ini kerap dilakukan oleh peniaga yang belum cukup lama dalam dunia bisnes. Dalam kesilapan jenis ini, bisnes kita berjaya tumbuh dan berkembang tetapi kemudian ia bungkus, tak survive.

Salah satu punca bisnes kita boleh bungkus adalah apabila kita kembangkan bisnes dengan memasuki sektor baru yang model bisnesnya lain daripada model bisnes asal.

Kita terdorong melakukan kesilapan itu atas tarikan peluang menaikkan jualan dan pendapatan pada jumlah besar.

Ambil contoh ini:

Kita menjalankan bisnes kedai dobi layan-diri. Pelanggan kita adalah individu. Mereka semua membayar tunai, jadi kita tidak mengalami masalah hutang pelanggan. Itulah model bisnes kita sekarang.

Kemudian kita masuk tender servis mencuci linen hospital. Model bisnes kontrak servis cucian linen hospital sangat berbeza.

Apabila kita menerima tawaran kontrak itu, hati bukan main gembira, maklumlah nilai kontraknya besar.

Atas faktor kita tidak mempunyai pengalaman dalam sektor kontrak servis dobi hospital, kita tidak tahu risiko-risiko dalam bisnes macam itu.

Bagi menjalankan kontrak dobi linen hospital itu kita terpaksa membeli mesin-mesin basuh dan mesin pengering tambahan.

Kita juga terpaksa membeli trak untuk ambil linen kotor dan hantar linen bersih. Bagi pembelian itu kita terpaksa ambil pinjaman bank yang besar jumlahnya. Kita juga perlu ambil pekerja tambahan.

Cara pembayaran kontrak servis itu adalah kredit tiga bulan. Kita cuci dahulu, tiga bulan kemudian baru hospital bayar servis kita.

Selama tiga bulan itu tiap-tiap hari linen kotor masuk dan kita kena cuci. Tiap-tiap hari kita gunakan sabun. Tiap-tiap bulan kita perlu bayar bill api dan air.

Gaji pekerja mesti dibayar tiap-tiap bulan. Ansuran hutang bank perlu dibayar tiap-tiap bulan. Tetapi hospital belum membayar servis kita.

Akibatnya, kita gunakan duit keuntungan dari bisnes kedai dobi yang asal bagi menampung kos operasi bisnes dobi linen hospital.

Hendak dijadikan cerita, kontrak itu untuk tempoh dua tahun. Selepas tamat tempoh itu hospital tidak sambung kontrak itu. Kontrak diberikan kepada syarikat lain.

Penutup

Andainya bisnes kecil kita tidak berkembang, bisnes kita takkan survive. Lama kelamaan, bisnes kita akan bungkus, tidak dapat diwariskan. Sebaliknya, apabila bisnes kita berkembang terlalu cepat, bisnes kita pun boleh bungkus juga, malah bungkus lebih cepat.

Mempunyai bisnes yang tumbuh dan berkembang adalah idaman semua orang bisnes. Namun, setakat tumbuh dan berkembang sahaja tidak cukup, malah ia boleh membahayakan bisnes itu sendiri. Kita mahukan bisnes yang tumbuh dan berkembang pada kadar yang betul.

Mahukah Anda Belajar 12 Siri Ilmu Bina Bisnes Jangka Panjang?

Dalam panduan ini, Puan Ainon Mohd bersama speaker menyampaikan 12 siri ilmu yang dapat bantu anda bina bisnes yang bertahan lama dan menjadi legasi.

Siri 1: Ilmu Menjadi Kaya
Siri 2: Ilmu Berfikir Dengan Strategi
Siri 3: Ilmu Strategi Berpartner Dalam Bisnes
Siri 4: Ilmu Kolaborasi Projek Yang Berjaya
Siri 5: Ilmu Leverage Bisnes
Siri 6: Ilmu Strategi Kewangan Bisnes
Siri 7: Ilmu Game Cukai
Siri 8: Ilmu Mengurus Kerugian Masa Depan
Siri 9: Ilmu Mengurangkan Beban Kerja Majikan
Siri 10: Ilmu Mengurus Risiko Staff Pandai Lari
Siri 11: Ilmu Bekerja Dengan Orang Pandai
Siri 12: Ilmu Memandaikan Pekerja Bodoh

Klik butang di bawah untuk info lanjut:

.

KLIK SINI
Hai 👋 Boleh kami bantu anda?