Ramai orang menyangka bahawa harga emas tidak akan jatuh bahkan semakin menaik. Apabila mereka hendak menjual emas mereka, mereka pergi ke kedai emas semula dan menjual emas mereka.
Apabila dilihat di papan harga emas,
“Wah! Harga sudah naik.”
Lalu dengan hati yang gembira mereka pun cakap,
“Saya mahu jual emas saya. Harga sudah naik, kebetulan saya mahu gunakan duit.”
Penjual emas itu ambil kalkulator.
“Tak tak tak tak… tak tak tak tak…” Bunyi kalkulator ditekan dengan laju.
“Ini harga yang kami mahu beli.”
Terbeliak mata orang yang mahu jual emas itu. Rasa seperti tidak percaya. Bermain segala kata-kata pelayan kedai emas waktu dia membeli. Teringat semua hantaran Facebook tentang emas. Semuanya bermain seperti pita rakaman.
Ditenungnya kalkulator itu lagi.
“Kenapa harganya jauh sekali turun?” Akhirnya dia bersuara.
“Oh di papan itu adalah harga jual, harga emas yang kami beli murah dari harga itu. Beza harga emas yang kami jual dan kami beli, itu dipanggil spread.” Jawab pemilik kedai emas itu.
Terpegun sekali lagi. Teringat simpanan duit yang sudah ditukarkan emas. Simpanan itu RM10,000. Sekarang emas itu kedai cuma mahu ambil RM9500. Ingatkan boleh buat untung sedikit.
Sudah dua tahun duit itu jadi emas. Tiba-tiba dia terfikir, “Baiklah aku gadai sahaja. Nanti boleh tebus semula.”
Apabila digadai, kedai itu cuma ambil RM8000 sahaja. Kali ini dia tenung kalkulator itu seperti mahu ditelan sahaja. Semakin geram perasaannya. Kalau duit itu disimpan di ASB, paling kurang duit itu tidak berkurang. Dikiranya semula dalam kepala, “paling tidak aku dapat RM700-RM800 kalau simpan dalam ASB!”
Tuan puan sekiranya kita mahu buat untung dalam emas, kita perlu simpan emas itu sekurang-kurangnya lebih 5 tahun. Itupun belum pasti. Kita orang bisnes, kita tidak simpan emas.
Nak pakai sebagai perhiasan boleh tidak ada masalah. Tapi jangan pernah niat beli emas untuk sebagai simpanan jangka pendek kurang dari 10 tahun. Mereka yang melaung simpan emas ini bagus, simpan emas ini kalis inflasi, mereka itu penjual atau broker emas.
Mestilah mereka cerita yang baik-baik.