Bisnes bermula dengan idea. Idea untuk memilih produk. Contohnya, kita mahu membuat dan menjual topi-topi untuk dipakaikan pada kucing manja jantan. Itulah contoh idea bisnes.
Idea bisnes yang bagus adalah asas kepada bisnes kecil yang berpotensi berjaya.
Idea bisnes itu mesti betul, baru ada harapan bisnes itu boleh sustain.
Memilih idea untuk produk ataupun servis adalah sesuatu yang serba tidak pasti. Tidak ada jaminan 100% sesuatu idea bisnes itu akan berjaya.
Dua perkara penting apabila menilai idea bisnes yang akan diceburi:
i. Apakah idea bisnes itu mampu sustain dan boleh menghasilkan keuntungan. Contohnya, bolehkah bisnes membuat dan menjual topi untuk kucing jantan itu sustain dan menguntungkan?
ii. Apa ciri-ciri pada idea bisnes itu yang sesuai dengan psikologi dan personaliti kita, dan nilai-nilai murni yang menjadi pegangan hidup kita.

Apakah kerja membuat topi kucing sesuai dengan sifat semulajadi personaliti kita? Sanggupkah kita duduk sendirian sepanjang hari membuat topi-topi kucing?
Dalam bisnes tidak ada kepastian. Yang ada hanyalah keyakinan kita sebagai bakal usahawan.
Jadi, walaupun kita menyedari tidak ada yang pasti dalam bisnes, kita perlu berasa yakin bahawa idea bisnes kita itu akan dapat dilaksanakan, dan kemungkinan idea itu berjaya adalah tinggi.
Di bawah ini adalah 11 kesilapan dalam memilih produk yang paling kerap dilakukan oleh usahawan nubis:
KESILAPAN 1: Memilih idea bisnes yang kita tidak sanggup hendak buat sampai berjaya.
Antara kesilapan dalam memilih idea, kita memilih idea bisnes yang kita tidak sanggup hendak buat sampai berjaya.
Ada masanya kita tertarik dengan sesuatu idea bisnes, lalu kita pun ceburi bidang itu.
Waktu baru-baru memulakan bisnes itu semangat kita memang berkobar-kobar. Biarpun kerjanya berat dan teruk, tetapi kita berasa seronok.
Beberapa tahun selepas itu barulah kita mula merasai bahawa bisnes itu sudah menjadi beban yang berat.
Kita tidak seronok lagi menjalankan bisnes itu. Kita tidak bahagia dengan gaya hidup yang tidak secocok dengan jiwa kita.
Di situlah kesilapan kita. Kita tidak sangka ada perbezaan antara bisnes dengan pekerjaan.
Bisnes adalah bisnes. Jangan pilih bisnes yang akhirnya menjadi suatu pekerjaan yang berat bagi kita.
Dulu kita bekerja dengan majikan. Sekarang kita bekerja dengan diri kita sendiri.
Kita sangka kita membuka bisnes sendiri. Rupa-rupanya kita hanya menukar pekerjaan kita!
KESILAPAN 2: Memilih idea bisnes yang tidak jelas model bisnesnya.
Ini adalah kselipan yang paling kerap dilakukan oleh nubis. Mereka pilih jenis produk ataupun servisnya dengan tidak mempunyai model bisnes yang jelas. Mereka main agak-agak sahaja, main langgar dinding sahaja.
Apabila kita baru hendak memulakan bisnes pertama, sangat penting kita pilih produk yang orang sanggup bayar harganya.
Jangan pilih produk yang susah hendak dibuat kononnya atas nama hendak memberi macam-macam nilai untuk customers kita.
Nilai ditentukan oleh customers kita. Apa yang mereka sanggup bayar, itulah nilai yang customers mahukan.
Nilai bukan apa yang kita pandai buat, ataupun apa yang kita mahu jual kepada customers.
Produk bagus sekalipun, yang banyak nilainya, jika customers tak mahu bayar harganya, bermakna produk itu tidak bernilai kepada mereka.
Semuanya balik kepada model bisnes kita.
i. Jangan pilih idea bisnes yang perlukan strategi marketing yang kompleks dan bajet marketing yang tinggi. Kita usahawan kecil, kita tidak mampu.
ii. Pilih idea bisnes yang model bisnesnya simpel, makin simpel makin bagus dari sudut mengurus risiko-risikonya. Ingat, kita usahawan kecil, kita tidak mampu mengambil risiko besar.
iii. Pilih idea bisnes yang simpel, yang boleh dimulakan dengan cepat pada bajet modal yang rendah.
iv. Pilih idea bisnes yang mudah diuji, divalidasi, sama ada customers mahukannya, dan mereka anggup membayar harganya.
KESILAPAN 3: Memilih idea bisnes tanpa mengkaji dan menilai risikonya.
Risiko wujud dalam semua jenis bisnes, itu memang betul. Namun bagi sesetengah jenis bisnes risikonya lebih tinggi daripada jenis bisnes lain.
Sebagai contoh, membuka cawangan francais brand lokal yakni brand yang dilahirkan di Malaysia, adalah sangat tinggi risikonya.

Jadi, sebelum memilih bisnes yang akan diceburi kita perlu siasat dahulu risiko-risiko yang terdapat pada bisnes jenis itu.
Memang betul risiko tidak dapat dielakkan dalam apa jua bisnes. Namun, ada risiko yang dapat dielakkan, dan ada risiko yang dapat dikurangkan.
KESILAPAN 4: Memilih idea bisnes yang belum banyak customernya.
Tujuan bisnes adalah membuat keuntungan dengan menjual produk yang sudah banyak pembelinya.
Maksudnya, kita menjual produk yang banyak orang mahukan barang itu, dan mereka sanggup membelinya. Dengan itu baru bisnes kita boleh buat untung.
Jangan cuba menjual barang yang tidak banyak orang mahukan. Demand atau permintaan produk itu sangat rendah.
Jadi, jangan pilih produk yang kita terpaksa cipta customersnya.
Kos mencipta demand atau permintaan adalah di luar kemampuan peniaga kecil. Jadi, pilihlah produk ataupun servis yang permintaannya memang sudah tinggi.
KESILAPAN 5: Memilih idea bisnes pertama yang belum pernah dibuat.
Banyak usahawan nubis melakukan kesilapan jenis ini. Mereka membuat produk yang belum pernah dibuat sebelumnya.
Contoh produk pertama dalam pasaran adalah minuman ringan dalam botol campuran jus belimbing buluh dan jus kurma.
Realitinya, peluang kita berjaya dalam bisnes adalah lebih cerah apabila kita pilih idea bisnes yang sudah terbukti menguntungkan dan mudah dimulakan.
Belum ada bukti minuman ringan campuran jus belimbing buluh dan jus kurma boleh menguntungkan dan mudah dimulakan.
Apa maksud idea bisnes itu mudah dimulakan?
i. Idea itu sudah terbukti, sudah pernah dibuat oleh pihak lain dan terbukti boleh menghasilkan keuntungan.
ii. Idea itu simpel, sesiapa pun boleh buat, tidak memerlukan kepakaran dalam banyak bidang.
ii. Idea itu boleh dijalankan segera, tidak perlu menunggu lama, sampai banyak perkara asas terpaksa dibuat dahulu.
iv. Idea itu bukan idea original, ia idea bisnes yang sudah lama wujud, hanya perlu ditambah baik di sana sini.
Risiko gagal adalah paling tinggi apabila kita cuba membuat bisnes yang belum ada orang lain membuatnya.
Ada dua kemungkinan mengapa tidak ada orang mahu mencuba bisnes jenis itu:
i. Belum ada orang lain terfikir idea macam itu, contohnya idea menjual minuman ringan campuran jus belimbing buluh dan jus kurma.
ii. Bisnes macam itu tidak berbaloi, jadi orang yang pernah mencuba idea itu tidak mahu meneruskannya.
KESILAPAN 6: Memilih idea bisnes yang di luar kekuatan diri kita
Memulakan bisnes adalah suatu keputusan yang besar, berat, sukar, dan menakutkan.
Sebaiknya, pilih idea bisnes di mana kita mempunyai ilmu pengetahuan, skill, dan pengalaman dalam bidang itu. Di sinilah pentingnya kita berkuli dahulu bisnes yang hendak diceburi.
Pilih idea bisnes yang membolehkan kita menggunakan ilmu, kepakaran, kemahiran, pengalaman, dan bakat yang ada pada diri kita. Ini sangat penting apabila kita akan bekerja seorang sendiri dalam bisnes itu.
Jangan pilih idea bisnes yang kita tidak tahu menahu berkenaan bidang itu hanya kerana kita tertarik dengan idea itu.
KESILAPAN 7: Memilih idea bisnes yang di luar kemampuan kita mengerjakannya sampai berjaya.
Ini satu lagi kesilapan yang kerap berlaku dalam kalangan nubis.
Kita memulakan bisnes yang kemudian kita tidak mampu hendak menjalankannya sampai berjaya.
Sebagai contoh, kita pernah belajar di Korea. Kita menjadi peminat makanan Korea. Kita juga belajar memasak makanan Korea yang popular.
Kita tidak mempunyai pengalaman membuka dan menguruskan apa-apa jenis kedai makan dan restoran, tetapi kita mahu membuka restoran makanan Korea.
Apabila kita memilih idea bisnes di mana kita tidak mempunyai ilmu, kepakaran, dan skill risikonya besar bisnes itu boleh bungkus di tengah jalan dengan kita menanggung kerugian yang mungkin di luar kemampuan kita menyerapnya.
Antara puncanya:
i. Idea bisnes itu mungkin terlalu besar, ataupun terlalu komplikated, sedangkan sumber-sumber yang ada tidak mencukupi.
ii. Kita tidak cukup modal, ataupun tidak mempunyai cukup tim pakar bidang bagi melaksanakannya.
iii. Sepanjang perjalanan hendak menjayakan idea bisnes itu macam-macam masalah timbul, selepas satu, satu lagi masalah, lama-lama sampai kita patah semangat nak teruskan bisnes itu.
iv. Kita tidak sangka idea bisnes itu mengambil masa yang terlalu lama sebelum dapat dijadikan kenyataan, sampai kita kehabisan modal, sampai motivasi dan semangat juang kita padam.
v. Visi kita terlalu besar, konon hendak buat bisnes yang macam itu, yang macam ini, yang unggul, yang perfek, yang terbaik, yang mampu menyelesaikan macam-macam masalah besar seperti hendak memartabatkan ekonomi bangsa, ekonomi ummah dll.
Dalam bisnes, kita bermula dengan menyelesaikan satu masalah yang kecil dan spesifik.

Kemudian satu persatu, selangkah demi selangkah, idea kecil itu dikembangkan secara bertahap-tahap.
Pilih bisnes yang kita yakin kita mampu usahakannya sampai menjadi.
Jangan fikir memulakan bisnes itu mudah. Memulakan bisnes adalah amat susah. Jadi kita perlu bersedia berdepan dengan macam-macam kesusahan pada masa depan.
Hukum Hofstadter mengatakan: ‘Semua perkara mengambil masa lebih lama daripada yang diramalkan.’
KESILAPAN 8: Memilih idea bisnes yang tidak benar-benar istimewa.
Adalah natural, apabila sesuatu solusi problem itu boleh menjanjikan peluang profit besar, maka banyak pihak akan menceburi bidang itu.
Sebagai contoh, manusia perlu minum, maka wujudlah ribu-riban jenis minuman dalam botol dan tin dicipta orang.
Apakah kita pun mahu ikut mencipta minuman dalam botol juga? Terpulanglah.
Sektor minuman sudah sesak badak oleh banyaknya pengeluar. Andainya kita mahu mengeluarkan minuman juga, minuman kita itu perlu betul-betul istimewa.
Jika minuman kita itu tidak betul-betul istimewa, apa alasan customer mahu melupakan minuman kegemaran mereka dan membeli minuman kita.
Customer mesti mempunyai alasan yang kuat bagi membeli produk kita.
KESILAPAN 9: Memilih idea bisnes yang kita tidak berapa kenal customernya.
Apabila kita tidak benar-benar kenal siapa customer target kita, kita cuma agak-agak sahaja, cuma rasa-rasa sahaja.
Sebagai contoh, andainya kita hendak membuka restoran Korea, siapakah mereka yang akan menjadi customer target bisnes kita?
Apakah rakyat Korea yang tinggal di negara ini? Apakah rakyat Malaysia yang pernah pergi ke Korea? Ataupun siapa? Berapa banyak jumlah mereka? Makanan apa yang mereka mahukan? Apakah masalah mereka itu?
Hanya apabila kita kenal siapa sebenarnya customer target kita barulah kita dapat mencipta solusi yang mereka mahu beli.
Apabila kita cuma agak-agak sahaja, cuma rasa-rasa sahaja, bermakna kita kita tidak benar-benar kenal siapa customer kita.
Inilah implikasinya:
i. Macam mana kita hendak benar-benar memahami apa masalah mereka?
ii. Macam mana kita hendak mencipta solusi yang efektif bagi menyelesaikan masalah mereka?
KESILAPAN 10: Memilih idea bisnes yang kita sangka mudah dijalankan dan mudah membuat untung besar.
Barangkali kita kenal seseorang yang asyik bertukar-tukar bisnes, tidak pernah kekal dengan satu bisnes sahaja.
Dia mendengar cerita orang bisnes yang menjadi founder produk kecantikan mudah menjadi kaya, dia pun cuba menjadi founder produk kecantikan.
Kemudian dia mendengar pula cerita orang yang menjadi founder produk kesihatan boleh cepat buat untung, dia pun cuba menjadi founder produk kesihatan.
Dia terbaca pula dalam media sosial kisah agent hartanah boleh mendapat komisen ribu-riban ringgit setiap kali berjaya menjual, dia pun cuba menjadi agent hartanah.
Orang yang macam itu adalah orang yang percaya konon ada bisnes yang mudah.
Tidak ada bisnes yang mudah. Tidak ada duit yang datang tanpa kita bekerja keras.
KESILAPAN 11: Memilih idea bisnes yang susah hendak dimulakan.
Kita baru hendak memulakan bisnes pertama, jadi jangan pilih idea bisnes yang susah hendak dimulakan. Ingat, 93% bisnes akan bungkus dalam tempoh 3 tahun selepas dimulakan operasinya. Dalam tempoh 5 tahun, statistik itu naik menjadi 95%.
Pilih idea bisnes yang simpel. Makin besar idea itu, makin ia kompleks dan komplikated, makin banyak problem yang akan timbul, makin tinggi risikonya ia akan gagal dan bungkus terus.
i. Jangan terlalu yakin idea bisnes kita akan mudah dimulakan, akan mudah dijalankan, akan mudah berjaya, dan akan mudah menghasilkan banyak keuntungan.
ii. Jangan terlalu idealistik. Apabila kita terlalu idealistik kita cenderung mahu buat idea bisnes yang kompleks dan komplikated.
iii. Fokus pada risiko, yakni cari jalan bagaimana risiko dapat dikurangkan.
Penutup
Semua orang bisnes pernah melakukan kesilapan. Perkara macam itu adalah fitrah dunia bisnes.
Walau bagaimanapun, ada kesilapan yang kerugiannya mampu diserap, dan kita dapat betulkan kesilapan itu dengan mudah.
Ada pula kesilapan yang kerugiannya tidak mampu diserap, sebagai contoh apabila bisnes itu dimulakan dengan modal pinjaman yang sangat besar kita mungkin akan dimufliskan oleh bank.
Yang penting, ada jenis-jenis kesilapan yang dapat dielakkan sejak sebelum memulakan bisnes.
Dengan mengelakkan kesilapan jenis itu, kita dapat mengelakkan pelbagai risiko berat pada masa depan.
Mahukah Anda Dapatkan Panduan Memulakan Bisnes Daripada Puan Ainon Mohd?

Panduan Memulakan Bisnes ini dihasilkan oleh Puan Ainon Mohd. Semua modul dan bonus ini disusun supaya anda lebih jelas strategi untuk memulakan bisnes.
Dalam panduan ini, anda akan belajar:
Modul 1: Cara Memilih Bisnes Pertama
Modul 2: Cara Memulakan Bisnes Kedua
Modul 3: Cara Memilih Produk Untuk Dijual
Modul 4: Model Business To Business (B2B)
Bonus 1: 12 Siri Memulakan Bisnes
Bonus 2: 14 Siri Bertahan Bisnes
Bonus 3: 12 Siri Kembangkan Bisnes
Bonus 4: 11 Video Nota Copywriting
Bonus 5: 23 Video Nota Marketing
Bonus 6: 26 Video Nota Jualan
Bonus 7: Group Khas Sekolah Bisnes
Klik butang di bawah untuk mula belajar.