5 Panduan Cara Berkesan Membuat Gol Dan Rancangan Kerja

Hasil kajian yang dilakukan oleh ahli-ahli psikologi mendapati individu-individu yang berjaya mempunyai habit menetapkan gol dan rancangan kerja dalam semua perkara yang mereka usahakan.

Gol dan kejayaan mempunyai perkaitan yang sangat kuat. Kajian saintifik mendapati gol menaikkan keberhasilan. Itulah yang menghasilkan kejayaan.

Orang yang bekerja dengan ada gol, prestasi mereka lebih tinggi.

5 Panduan Cara Berkesan Membuat Gol Dan Rancangan Kerja

Manakala orang yang bekerja tanpa menetapkan gol, prestasi mereka mereka rendah, dan menjadikan mereka kurang berjaya.

Dalam bahasa mudah, orang yang berjaya mempunyai gol-gol yang mereka mahu capai.

i. Orang yang berjaya bukan hanya kuat bekerja.

Mereka itu kuat bekerja dan mereka sudah menetapkan tujuan mereka bekerja kuat.

Bekerja kuat dengan tidak mempunyai gol adalah ibarat orang mengembara dengan tidak menggunakan peta, cuma dapat penat sahaja.

5 Kepentingan Mempunyai Gol & Rancangan Kerja

Dengan mempunyai gol-gol, mereka tahu di mana mereka perlu fokus dan arah tujuan ke mana mereka mahu pergi.

ii. Orang yang berjaya menetapkan gol-gol dalam pekerjaan mereka.

Sebelum memulakan sebarang pekerjaan, mereka sudah ada matlamat yang mahu dicapai.

Sebagai contoh, mereka ada rancangan mahu makan gaji selama 3 tahun sahaja. Dalam masa itu mereka akan belajar bisnes sambil bekerja dengan majikan, dan mahu kumpulkan modal. Selepas 3 tahun mereka akan membuka bisnes sendiri.

iii. Mereka juga menetapkan target kerja mereka.

Tiap-tiap hari mereka ada target yang hendak dicapai. Mereka sudah tetapkan pada hari itu apa kerja yang mereka mahu selesaikan.

Dengan menetapkan gol-gol harian, mereka mempunyai prioriti. Dengan itu mereka mengawal tingkah laku mereka. Mereka hanya melakukan perkara-perkara yang selaras dengan gol mereka.

iv. Dengan mempunyai gol, kita yang mengawal kemajuan kita, bukan orang-orang lain ataupun pihak-pihak lain.

v. Dengan mempunyai gol, mereka mempunyai kayu ukur bagi menilai sejauh mana mereka sudah maju ke depan.

Sebagai contoh, andainya gol kita adalah menghimpun kekayaan kebendaan untuk diri kita sendiri.

Apabila kita sudah mempunyai RM1 juta dalam bank, maka kita boleh katakan kita sudah berjaya mencapai gol kita itu.

Tetapi seandainya gol kita adalah mahu berjaya mengislamkan 1 ribu orang, maka mempunyai RM1 juta di bank adalah berlawanan dengan definisinya kejayaan kita.

Supaya kita boleh berjaya mencapai gol-gol pilihan kita, kita mesti tahu bagaimana mahu membuat gol-gol itu, istilahnya goal setting.

Banyak orang tidak pandai membuat goal setting. Mereka cuma sebut ‘saya nak itu, nak ini, nak jadi itu, nak jadi ini’ dan lain-lain yang seperti itu. Itu bukan cara membuat gol yang betul.

Itu namanya cuma bercakap apa yang mereka ingini, atau kehendak saja, bukan gol.

5 Cara Membina Gol Yang Berkesan

Apabila mahu berjaya, gol yang kita buat mestilah gol yang dapat dicapai dengan bekerja keras.

1. Pilih gol-gol yang mampu menjadi sumber motivasi pada diri kita sendiri.

Gol yang dipilih itu mestilah sangat penting dan amat bermakna bagi diri kita.

Gol-gol yang sangat bermakna pada jiwa kita mampu menjadikan kita seorang yang cekal dan tabah dalam usaha mahu mencapainya.

Gol yang tidak penting dan kurang bermakna pada kita tidak mungkin dapat mendorong kita bekerja sangat kuat bagi mencapai gol itu.

Andainya duit bukanlah perkara yang paling penting dalam hidup kita, maka kita takkan sanggup bertungkus-lumus mencari duit.

Gol yang penting adalah juga cita-cita kita. Katakanlah, kita bercita-cita mahu mempunyai sebuah resort di tengah-tengah ladang durian jenis Raja Brunai, paling kecil 10 ekar.

Bagi kita ladang itu amat penting dimiliki. Banyak perkara yang kita mahu lakukan di dalam ladang durian itu.

Kita mahu membuka ladang durian Raja Brunai itu kerana jiwa kita adalah jiwa pencinta alam semulajadi.

Kita mahu menjalankan bisnes di kawasan yang hijau dan indah. Jadi, kita sanggup bekerja kuat separuh mati bagi mencapai gol itu.

Banyak orang silap dalam memilih gol.

Gol yang dipilih tidak mampu menjadi sumber inspirasi, dan tidak menjadi sumber motivasi kerja keras sampai separuh mati demi hendak mencapai golnya itu.

2. Pilih gol-gol yang selaras dengan prioriti-prioriti dalam kehidupan kita.

Kita mesti tahu apa prioriti atau keutamaan dalam hidup kita. Jangan buat gol yang tiada kaitan dengan prioriti kita.

Gol-gol yang selaras dengan prioriti kita dapat mendorong kita bekerja kuat demi mencapai gol itu.

Kita tidak mahu membuang masa dengan membuat kerja-kerja yang tidak penting. Kita tidak mahu bertangguh-tangguh.

Gol yang dipilih itu membuat kita berasa masa sangat berharga. Kita bimbang tidak sempat mencapai gol itu.

Jadi kita betul-betul fokuskan masa kita bekerja keras demi mencapai gol itu.

Kita perlu mempunyai komitmen yang tinggi pada gol-gol yang dipilih itu. Supaya peluang gol itu dapat dicapai semakin tinggi, kita mesti mempunyai sikap ‘aku kena buat’.

Jadi, kita perlu mempunyai senarai perkara-perkara yang kita kena buat, andainya tidak dibuat maka gol akan tinggal sebagai angan-angan separuh jalan saja.

Tanpa membuat senarai perkara yang kena buat itu, kita mudah terpesong daripada bekerja keras demi mencapai gol-gol kita.

Apabila terpesong, kita akan gagal mencapai gol-gol itu, akibatnya kita berasa kecewa pada diri sendiri.

Perasaan kecewa macam itu boleh melemahkan semangat hidup kita, istilahnya sangat de-motivating.

Kita juga boleh hilang kepercayaan pada diri kita sendiri untuk menjadi orang yang berjaya.

3. Ciri-ciri gol yang betul, yang dapat dicapai dengan cara berkomitmen dan bekerja keras:

S – Specific atau tepat.
M – Measurable atau dapat diukur.
A – Attainable atau dapat dicapai.
R – Relevant atau selaras.
T – Time Bound atau ada tempohnya mesti dicapai.

i. Gol kita mesti spesifik.

Gol mesti tepat, jitu, jelas, tidak kabur, tidak umum. Gol kita adalah penunjuk jalan kita. Gol yang tepat sahaja yang dapat menunjukkan arah ke mana kita mahu pergi, apa yang kita kena buat untuk sampai ke destinasi.

ii. Gol mesti dapat diukur.

Kesilapan yang paling kerap dilakukan adalah gol yang tidak dapat diukur dengan tepat sejauh mana ia sudah dicapai.

Contoh gol yang tidak dapat diukur dengan tepat:

“Saya mahu turunkan kos.”
“Saya mahu tinggikan profit.”
“Saya mahu tambah baik kualiti produk kita.”
“Saya mahu menjadi usahawan berjaya.”
“Saya hendak menjadi suami mithali.”
“Saya mahu membantu ekonomi ummah.”

Gol-gol yang kita buat mestilah dapat diukur. Contohnya, jika gol kita mahu turunkan kos, mesti disebut angka kos yang mahu diturunkan itu. Berapa sen, berapa persen, bila tarikh kos itu mesti dapat diturunkan.

iii. Gol mesti dapat dicapai.

Gol-gol yang kita buat mestilah realistik. Jangan buat gol yang tidak akan dapat dicapai.

Di bawah ini adalah contoh gol-gol yang tidak mungkin dapat dicapai oleh orang yang berkata macam itu:

“Saya mahu jadikan negara ini bebas jenayah.”
“Saya mahu hapuskan kemiskinan.”
“Saya mahu banteras rasuah.”
“Saya mahu satupadukan semua rakyat Malaysia.”

Apabila gol yang kita buat itu tidak mampu nak dicapai, kita akan patah semangat. Yakin diri kita juga boleh jatuh.

iv. Gol mesti relevan.

Apa tujuan hidup kita. Apa yang hendak kita capai. Gol-gol yang kita buat mestilah relevan dengan tujuan itu.

Dengan memastikan gol-gol kita relevan, barulah kita tidak hilang fokus, tidak hilang arah, dan anak panah hidup kita sentiasa betul.

Dengan itu juga barulah kita dapat merancang dengan betul tahap demi tahap perkara-perkara yang kita kena buat demi mencapai tujuan itu.

v. Gol mesti ada tempoh masa.

Gol-gol kita mesti adalah tempoh masanya, atau deadline-nya. Dengan cara itu baru kita dapat rancang bila masanya kita patut capai kejayaan yang diusahakan.

Dengan adanya tarikhmati atau deadline itu, baru kita ada sense of urgency, ada perasaan takut tak cukup masa, kena buat cepat, tak boleh tangguh-tangguh, mesti nak capai juga gol itu sebelum tamat tempoh

4. Buat action plan atau rancangan tindakan.

Dalam goal setting mesti ada action plan. Banyak orang tidak mahu ambil masa membuat action plan.

Mereka hanya fokus pada hasil yang hendak dicapai sahaja. Sebagai contoh, mereka hendak menjadi jutawan, otak mereka cuma berfikir macam mana hendak menjadi jutawan.

Mereka tidak mahu duduk, berfikir, dan menuliskan langkah demi langkah perkara-perkara yang mereka kena buat ke arah menjadi jutawan.

Apabila kita sudah tuliskan senarai perkara-perkara yang kena dibuat, barulah nanti mudah kita periksa mana-mana yang sudah dibuat, dan mana lagi yang belum.

Dari situ juga kita boleh nampak kemajuan yang sudah dicapai, dan kita juga boleh nampak sejauh mana lagi perjalanan yang perlu ditempuhi.

5. Pegang kuat-kuat gol-gol yang sudah dibuat.

Goal setting adalah aktiviti yang sentiasa dilakukan, tidak pernah ada kesudahannya.

Ini kerana dari masa ke masa banyak faktor yang berada di luar kawalan kita, yang berubah-ubah, jadi kita mesti periksa sama ada kita perlu membetulkan gol-gol kita.

Matlamat kita tidak perlu diubah, namun cara kerja kita sahaja yang mungkin perlu diubah dan disesuaikan dengan persekitaran yang sudah berubah.

Penutup

Orang yang produktif dan berjaya adalah orang yang pandai membuat gol-gol untuk dirinya sendiri. Dia hanya melakukan perkara-perkara yang selaras dengan gol-golnya.

Itu yang menyebabkan mereka lebih produktif dibandingkan dengan orang-orang yang bekerja dengan tidak membuat gol-gol.

Mahukah Anda Belajar 12 Siri Ilmu Bina Bisnes Jangka Panjang?

Dalam panduan ini, Puan Ainon Mohd bersama speaker menyampaikan 12 siri ilmu yang dapat bantu anda bina bisnes yang bertahan lama dan menjadi legasi.

Siri 1: Ilmu Menjadi Kaya
Siri 2: Ilmu Berfikir Dengan Strategi
Siri 3: Ilmu Strategi Berpartner Dalam Bisnes
Siri 4: Ilmu Kolaborasi Projek Yang Berjaya
Siri 5: Ilmu Leverage Bisnes
Siri 6: Ilmu Strategi Kewangan Bisnes
Siri 7: Ilmu Game Cukai
Siri 8: Ilmu Mengurus Kerugian Masa Depan
Siri 9: Ilmu Mengurangkan Beban Kerja Majikan
Siri 10: Ilmu Mengurus Risiko Staff Pandai Lari
Siri 11: Ilmu Bekerja Dengan Orang Pandai
Siri 12: Ilmu Memandaikan Pekerja Bodoh

Klik butang di bawah untuk info lanjut:

KLIK SINI
Hai 👋 Boleh kami bantu anda?