Nota pengurusan: artikel ini tidak memberi kebenaran untuk memecat serta-merta. Bezakan isu prestasi, salah laku dan keperluan operasi. Semak bukti serta kontrak, beri ruang penjelasan dan rujuk pegawai HR, JTKSM atau peguam tentang proses yang sesuai sebelum tindakan dibuat.

Antara kesilapan yang usahawan kecil kerap lakukan adalah kita melambat-lambatkan tindakan membuang pekerja yang sah-sah perangainya buruk.

Apabila kita tidak buang epal busuk dalam kalangan pekerja kita, akibatnya nanti epal-epal yang elok akan berhenti kerja.

Kenapa Kita Jadi Susah Nak Membuang Pekerja?

Sebaiknya elakkan dua perkara ini:

1. Bergaul dengan pekerja dengan gaya mesra.

Kita melayan pekerja dengan gaya layanan mesra dengan sangkaan akan timbul kasih sayang antara sesama mereka dan dengan kita.

Kita sangka apabila diri kita disayangi oleh pekerja kita, mereka akan bekerja dengan rajin, dengan dedikasi, dengan jujur dan amanah.

Pakar-pakar dalam bidang hubungan tenaga kerja menasihati supaya kita jangan bergaul dengan cara mesra dengan pekerja, sampai mereka rasa rapat dengan kita.

Hal itu tidak sihat untuk menjaga hubungan sekerja yang profesional.

Maksud bergaul mesra dengan pekerja adalah:

i. Kita melayan mereka sama macam kita melayan keluarga sendiri.

Sebagai contoh, kita suruh mereka panggil kita dengan panggilan keluarga seperti ‘kakak’, ‘abang’, ‘acik’, ‘ibu’, ‘umi’.

Mula-mula memang mereka rasa suka mendapat majikan yang mahu bergaul mesra macam kakak-adik dengan pekerja. Lama-lama macam-macam masalah akan timbul.

Sebagai contoh, sukar bagi kita hendak mengambil tindakan disiplin ke atas pekerja yang sudah rapat dengan kita.

ii. Kita melayan pekerja macam mereka itu kawan baik kita.

Kesilapan ini mudah berlaku apabila kita mengambil pekerja yang umurnya sebaya dengan kita.

Kita bercakap dengan mereka dengan panggilan rakan sebaya seperti ‘engkau’ dan ‘aku’.

2. Mengambil pekerja yang susah hendak dipecat.

Kita melambat-lambatkan hendak membuang pekerja yang buruk perangai kerana tindakan itu akan menimbulkan banyak masalah lain.

Situasi itu berlaku apabila kita ambil pekerja daripada kalangan yang mempunyai hubungan rapat dengan kita seperti:

a. Adik beradik.
b. Sepupu-sepapat.
c. Ayah ataupun ibu saudara.
d. Anak saudara.
e. Ipar-duai.
f. Kerabat ipar.
g. Sahabat baik.
h. Anak sahabat baik.
i. Adik beradik dan kerabat sahabat baik.
j. Jiran sekampung.
k. Anak jiran sekampung.
l. Orang yang pernah menolong kita, ataupun anak isteri, ataupun saudara-mara orang yang pernah menolong kita.

Apabila mereka menimbulkan masalah di tempat kerja, kita susah hendak pecat mereka.

Sebagai contoh, apabila kita hendak pecat adik beradik sendiri, ibu bapa akan masuk campur. Hendak dibantah, tak boleh. Nanti kita melakukan dosa anak derhaka.

Apabila kita pecat keluarga ipar sendiri, itu boleh mengundang ibu bapa kita dan ibu bapa mertua kita masuk campur dalam urusan bisnes kita.

Jika kita pecat juga, hubungan dalam keluarga besar boleh rosak.

Penutup

Kita perlu menolong orang-orang yang rapat dengan kita mendapat pekerjaan. Cara betul menolong mereka adalah kita carikan pekerjaan untuk mereka di syarikat lain.

Biar mereka bekerja di syarikat milik kawan-kawan kita. Bukan bekerja dalam syarikat kita. Kalau tidak, payah dan berbelah bahagi untuk membuang pekerja kita.

Robert Kiyosaki berpesan:

“Kita mesti buang customers yang buruk perangai. Kita juga mesti membuang pekerja yang buruk perangai. Jika kita simpan pekerja yang buruk perangai, pekerja yang baik akan berhenti kerja. Jika kita tidak buang customers yang buruk perangai, lama-lama bukan customers yang baik saja akan lari, pekerja kita yang baik pun akan berhenti kerja.”

Robert Kiyosaki

Panduan Untuk Langkah Seterusnya

Untuk langkah praktikal yang berkaitan, rujuk Panduan Sumber Manusia dan Akta Pekerja. Pilih panduan mengikut masalah semasa, kemudian gunakan pada satu tindakan yang boleh dinilai hasilnya.

SB
Sekolah Bisnes

Panduan praktikal untuk pemilik bisnes kecil di Malaysia: pengurusan pekerja, sistem kerja, kewangan dan pemasaran setempat. Bincang dengan kami ›